05 Januari 2017

Belajar jadi pasangan yang Terbaik LillahiTaala (Suami Isteri)

~ السلام عليكم ~

Satu Ruangan Entri yang pasti memberikan Ilmu كروهانيان semoga ia memberi سماڠت buat kita semua dalam memperbaiki diri untuk meraih RedhoNYA. 

 

Belajar jadi pasangan yang Terbaik LillahiTaala (Suami dan Isteri) 

Tiada manusia yang dilahirkan sempurna di dunia ini. Pasti ada salah dan silap di mana-mana dan ini tentunya memberi kesan dalam sesebuah perhubungan. Pun begitu tidak salah jika kita belajar memperbaiki diri dan belajar menjadi yang terbaik buat pasangan. Semoga usaha menjadi yang terbaik ini sekali gus dapat memperbaiki perhubungan mahupun rumahtangga anda.

Realistik terhadap pasangan

Janganlah mencuba untuk mengubah pasangan menjadi seseorang yang anda inginkan. Hadapi kenyataan dan terimalah dirinya seadanya. Jangan berharap pasangan menjadi suami/isteri terbaik, tercantik mahupun suami/isteri yang paling romantis. Cintai pasangan seadanya kerana dirinya. Ada sesuatu yang dimiliki oleh pasangan anda yang tidak dimiliki oleh sesiapapun di dunia ini. Selalulah melatih hati untuk bersyukur akan pemberianNYA. "Alhamdulillah, syukurku padaMu Ya Allah akan hadirnya dia (Suami/Isteri) di sisiku.


Terbuka tentang perasaan

Ketika berhadapan dengan masalah, suami biasanya lebih gemar untuk berdiam diri dan menyelesaikannya sendirian. Namun, berbeza dengan isteri yang lebih terbuka tentang hati dan perasaan mereka.

Oleh itu bagi isteri cubalah pelajari sikap suami dan tidak membuat jangkaan sendiri mengenai perasaan pasangan mereka. Bagi suami pula, belajarlah untuk mengekspresikan perasaan dengan tepat supaya pasangan lebih mudah memahami ketika anda marah, terluka, tersinggung ataupun bahagia. Petanda awal sebuah perpisahan adalah apabila pasangan itu berhenti berkomunikasi dari hati ke hati. Betapa pentingnya mengenali hati/perangai pasangan, dekati dan pelajari sikap pasangan. Hadirkan jiwa/sikap perihatin/ambil tahu dalam setiap situasi.


Gemar melakukan sesuatu yang menarik bersama

Carilah sesuatu yang boleh anda lakukan bersama-sama. Sebagai contoh melakukan olahraga kegemaran bersama pasangan ataupun melakukan suatu hobi yang anda berdua sama-sama senang. Nikmati waktu ketika bersama pasangan.

Anda boleh juga sekadar menonton VCD di rumah atau mungkin jalan berpegangan tangan di kompleks membeli-belah, bercuti di tempat peranginan kegemaran bersama. Berhati-hatilah jika anda lebih suka menghabiskan lebih banyak waktu dengan teman daripada pasangan sendiri. Itu tanda yang kurang baik dalam perhubungan. Muhasabah diri setiap hari. 



Tunjukkan cinta

Bagi suami, cubalah membawa pulang kuih kesukaan isteri anda. Boleh jadi coklat atau apa pun yang dia sukai. Bagi isteri pula, manjakan pasangan suami anda dengan memasakkan makanan kegemarannya atau membelikan sesuatu yang diinginkannya.

Jadikan perkara sebegini bahasa cinta anda. Ada lima bahasa cinta yang mana salah satunya boleh jadi selalu dilakukan oleh anda atau pasangan iaitu sentuhan fizikal, kata-kata semangat, waktu berkualiti, layanan dan hadiah. Tunjukkan rasa perihatin terhadap orang yang anda cintai dan sayangi, ini akan memberikan kesan yang sangat membahagiakan. Menghargai pasangan setiap masa. 


Saling menghormati

Jangan mempersendakan tentang rambut atau kulit pasangan di depan orang lain atau anak-anak. Meskipun maksudnya hanya untuk bergurau, tetapi fikiran di bawah sedarnya mungkin menangkap maksud yang berbeza. Boleh jadi perkara ini akan menggugat keyakinan dirinya. Mencintai adalah menghargai perasaan satu sama lain dan peka terhadap perasaan pasangan. Hormati dan Jagai aib pasangan.



Hilangkan rasa cemburu

Setiap perhubungan pasti tidak dapat lari daripada perasaan cemburu, namun jangan sesekali membiarkan perasaan cemburu itu melarat dan memudaratkan perhubungan. Rasa cemburu seperti ini ibarat racun yang secara perlahan menyebarkan ke seluruh sendi-sendi perhubungan anda. Percayalah kepada pasangan anda. Mencintai adalah tentang memiliki rasa percaya dan yakin kepada pasangan.

Jaga komitmen

Jangan membuat janji yang dirasakan tidak mampu untuk dipenuhi. Sekiranya tidak dapat dicapai, maka ini akan mengurangkan rasa hormat oleh pasangan. Selain itu, jagalah kepercayaan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain adalah petua perhubungan yang sihat. Jika pasangan mula merasakan bahawa ia tidak penting, maka bersiap sedialah untuk kehilangan hatinya. 



Jujur

Jujur bukan sahaja dari aspek tingkah laku tetapi yang lebih penting kejujuran untuk mengungkapkan perasaan terdalam kita. Jika anda berasa marah, katakan bahawa anda sedang marah.

Jika anda berasa terluka, terus-terang. Luahkan dengan rasa tenang tanpa perlu menengking atau menjerit-jerit hingga melukakan hati pasangan. Jika anda tidak mampu berlaku jujur pada pasangan anda, pada siapa lagi anda harus jujur? 

Moga ruangan ini memberi manfaat buat kita semua. 









Tiada ulasan:

Catat Ulasan